iklan

Monday, February 21, 2011

Khasiat Budu Terbongkar (Wikipedia)

Budu yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman. Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki glutathione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno".

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal. Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab cirit (diarrhoea), penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh. Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya, kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.

Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon.

Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.

Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research.

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan, kerana ia telah disepara cerana oleh bakteria. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.

Sunday, February 20, 2011

Nik Aziz: Kelantan sedia RM1.5 juta galak pasangan muda kahwin


KOTA BARU, 16 Feb — Kerajaan PAS Kelantan melancarkan “Gerbang Az-Ziwaaj” dengan peruntukan RM1.5 juta tahun ini bertujuan menggalakkan 1,500 pasangan muda kurang berkemampuan untuk berkahwin.

Semasa melancarkannya, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), berkata program bertemakan “Anda Bijak Kerana Berkahwin” itu bertujuan mengelakkan golongan muda dari terjebak dalam perzinaan dan menghalang kejadian buang anak luar nikah.

Melalui program itu, setiap pasangan diberi RM1,000 dalam bentuk cek dan peserta boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat kadi, pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri, kaunter khidmat pelanggan Setiausaha Kerajaan Negeri atau muat turun borang dari laman facebook “Gerbang Az-Ziwaaj” (Gerbang Perkahwinan). — Bernama

Monday, February 14, 2011

Inflasi hantui dunia selepas kemelesetan berganda




SINGAPURA 14 Feb. - Dunia kini perlu berdepan dengan isu inflasi dan bukan lagi dengan risiko kemelesetan ekonomi berganda, kata Standard & Poor Rating Services (S&P) di sini.

Firma penyelidikan antarabangsa itu berkata, kebanyakan bank pusat bimbang untuk mengadakan kawalan dasar monetari ekoran peningkatan inflasi meskipun pemulihan ekonomi Asia begitu memberangsangkan.

Katanya, kebimbangan itu menimbulkan persoalan terhadap kestabilan pemulihan di negara-negara ekonomi utama.

Inflasi yang berlaku disebabkan kenaikan harga makanan, yang selalunya mengalami kemeruapan.

Menurut S&P, kebanyakan bank pusat juga khuatir kenaikan kadar faedah akan menarik lebih banyak modal asing, bersama-sama dengan risiko aset harga inflasi dan aliran berbalik modal hadapan.

Akibatnya, polisi kadar faedah masih kekal di bawah kemuncaknya pada 2008.

''Kesabaran bukan selalunya baik, terutama apabila ia (inflasi) meningkat,'' menurut Penganalisis kredit S&P, Kim Eng Tan.

Beliau berkata, para pengguna menjangka inflasi akan terus meningkat sekiranya bank-bank pusat menanggungnya dan menaikan kadar faedah secara berperingkat-peringkat tetapi terlalu kerap, terutama dalam ekonomi yang mana inflasi tinggi sebelum ekonomi merudum.

Berikutan itu, katanya, bank-bank pusat perlu membuat kawalan dasar monetari untuk mengalami masalah yang sama.

Pemulihan ekonomi Asia yang kukuh memang mengejutkan dan beberapa ekonomi telah beroperasi dengan kapasiti penuh.

Peningkatan dalam harga-harga makanan mungkin berterusan memandangkan permintaan meningkat mengatasi bekalan di negara-negara membangun Asia.

Tambahan pula, keadaan dasar monetari yang longgar di negara-negara maju akan memberi kesan kepada Asia meskipun kawalan modal dilakukan.

Memperingati kelahiran Rasulullah


PEMANDANGAN kawasan Masjid Darul Ehsan yang terletak di Taman TAR
, Ampang pada waktu siang.

SESUNGGUHNYA tiada nikmat di alam maya pada masa ini yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat bagi sekalian alam iaitu Junjungan Besar Rasulullah S.A.W.

Tanpa Baginda S.A.W dan pengorbanannya sudah pasti hari ini kita tidak akan mampu mengenal erti Islam, iman dan ihsan. Justeru, sebagai umatnya adalah tidak adil jika kita melupakan insan pembawa dan pejuang Islam yang sejati, Nabi Muhammad S.A.W.

Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah melupakan umatnya hatta tatkala nyawa berada di hujung tanduk, mulut Baginda S.A.W tidak henti-henti menyebut kalimah ‘ummati, ummati, ummati’ yang menunjukkan cinta dan kasihnya Rasulullah S.A.W terhadap kita.

Namun, apakah yang mampu umatnya berikan bagi membalas dan menghargai segala pengorbanan manusia agung tersebut? Adakah kita pada hari ini lebih mengasihi Baginda S.A.W lebih daripada diri dan keluarga sendiri? Adakah kita dapat mengenali Nabi Muhammad S.A.W sedangkan kita langsung tidak mempunyai pengetahuan terhadapnya? Persoalan ini perlu kita renungi dan jawab dengan sejujurnya bagi mengetahui sejauh mana kecintaan kita terhadap Rasulullah S.A.W.

Menyedari hakikat itu, sempena bulan yang penuh dengan wangian, Rabiulawal iaitu bulan kelahiran Nabi S.A.W, jawatankuasa Masjid Darul Ehsan di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor dengan kerjasama Yayasan Sofa dan Darul Quran wal Hadis (Daqwah) tidak ketinggalan meraikan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1432 Hijrah.

Bacaan Qasidah

Sejak 12 malam yang lalu, alunan merdu bacaan qasidah dan selawat yang mengandungi puji-pujian ke atas Rasulullah S.A.W menjadi sebutan di bibir para jemaah yang hadir untuk membesarkan Baginda S.A.W pada majlis penuh barakah itu.

Bait-bait syair yang dilagukan daripada kitab Mukhtasar fi Sirah al-Nabawiyyah (Ringkasan Sirah Nabawiyah) karangan al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba’ al-Syaibani, seorang ulama besar Sudan yang dilahirkan pada tahun 866 Hijrah begitu menusuk jiwa.

Di samping itu, para jemaah juga berpeluang mengikuti pembacaan kitab karangan al-Hafiz Muhammad ibn Isa Saurah al-Tarmizi r.a bertajuk Syamail al-Nabiy (Kesempurnaan Rasulullah SAW) yang berjaya dikhatamkan sepanjang 12 hari program berlangsung.

Tegas beliau, majlis sambutan Maulidur Rasul merupakan usaha mentarbiah ahli-ahli dan masyarakat tentang kepentingan mengasihi Nabi S.A.W sebagai salah satu asas agama dan juga asas bagi kekuatan ummah.

“Di dalam al-Quran juga ada menyatakan bahawa sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, itu adalah sebahagian daripada ketakwaan yang ada di dalam hati.

“Maka sudah tentu Nabi Muhammad S.A.W itu sendiri adalah sumber atau pintu kepada segala syiar Islam yang ada. Lantaran itu, sebagai mentaati perintah Allah dalam hal tersebut, majlis membesarkan Rasulullah S.A.W adalah contoh kasih kita kepada Baginda,” jelas Dr. Yusri yang merupakan Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Imam I Masjid Darul Ehsan, Mohamad Khairi Hussein memberitahu, terdapat tiga komponen utama yang dilaksanakan jawatankuasa masjid sempena majlis sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu komponen ilmu, amali dan kemasyarakatan.

“Dalam aspek komponen ilmu, ia diperoleh melalui pengkhataman kitab Syamail al-Nabiy yang di dalamnya terdapat pembacaan hadis-hadis berkaitan Rasulullah S.A.W dan sunnahnya.

“Ini diikuti dengan komponen amali menerusi bacaan zikir, selawat dan qasidah yang dapat menyuburkan lagi kasih sayang kita kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, tahun ini kami berjaya menyempurnakan bacaan sejuta selawat yang dihadiahkan kepada Baginda.

“Komponen ketiga pula melibatkan kemasyarakatan iaitu dengan penganjuran majlis ini secara berjemaah dan melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan darjat dan usia semata-mata bagi menautkan ukhwah di kalangan ummah,” ungkap Mohamad Khairi yang telah memegang jawatan tersebut sejak dua dekad lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita masjid berkenaan, Datin Halimah Nor Ismail tidak putus-putus melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kejayaan program yang dianjurkan.

“Sebelum ini, kami hanya meraikan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabiulawal sahaja. Tetapi, sejak Sheikh Muhammad Fuad dilantik sebagai Nazir, pelbagai majlis ilmu secara besar-besaran telah berjaya diadakan.

“Alhamdulillah, sepanjang 12 hari program ini berlangsung banyak manfaat yang kita peroleh dan diharap perkara baik sebegini akan berterusan pada masa akan datang,” tutur beliau yang mengakui kepenatan sewaktu menganjurkan majlis tidak langsung dirasai lantaran perasaan mahabbah yang terlalu mendalam diperoleh terhadap Rasulullah S.A.W.-kosmo